KUCHING: Polis Sarawak telah mengeluarkan sebanyak 73 notis kompaun RM1,000 kepada individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh 24 jam dari 8 pagi semalam sehingga 8 pagi, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar M.m Sree berkata, jumlah kompaun tersebut merangkumi hasil tangkapan individu yang ingkar PKP di 11 daerah seluruh Sarawak.

Menurutnya, kesemua individu yang dikenakan kompaun gagal memberikan alasan munasabah ketika ditahan berada di tempat awam ataupun jalan raya serta tidak mematuhi operasi kawalan sepanjang PKP dilaksanakan.

“Padawan mencatat jumlah individu dikenakan kompaun tertinggi sebanyak 22 orang, diikuti Kuching (19), Sibu (12), Sarikei (8), Kota Samarahan (3), Bau (3), Saratok (2), Simunjan (1), Kapit (1), Knowit (1) dan Matu (1).

“Sementara itu, seramai 14 individu ingkar PKP ditahan di beberapa kawasan daerah yang masih belum menerima buku kompaun,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, 33 individu yang telah ditangkap sebelum ini atas kesalahan sama telah pun dituduh di mahkamah semalam.

Kesemua individu yang ditahan ditangkap di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan 2020).

Dedah Dev lagi, daripada jumlah 33 itu, 30 daripadanya mengaku tidak bersalah, di mana hasil perbicaraan menunjukkan enam pesalah telah dihukum penjara, 21 orang telah didenda manakala tiga individu masih menunggu laporan akhlak.

Sementara itu, ujarnya, dua orang individu telah dikenakan waran tangkap berikutan gagal menghadirkan diri ke mahkamah semasa perbicaraan.