SIBU: Banyak kontraktor G1 hingga G7 yang tidak menerima bayaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahukan pertimbangan kerajaan agar bayaran kepada mereka disegerakan.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Negeri Sarawak Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi berkata, 80 peratus kontraktor di bawah persatuan itu akan gulung tikar jika bayaran kepada kerja kerja yang dilaksanakan tidak segera dibayar.

Untuk itu jelasnya, PKBM Sarawak memohon Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar menyelesaikan masalah bayaran kepada kontraktor.

“Sejak PKP dikuat kuasa, kontraktor terpaksa menanggung kos buruh yang tinggi apabila bilangan pekerja dihadkan, dan pada masa yang sama terpaksa menanggung gaji pekerja yang diarah bercuti,” katanya, semalam.

Menurutnya, banyak projek ketika ini tergendala dan akan sukar mencari tenaga kerja selepas PKP ditamatkan. Selain itu, kedai perkasasan pembinaan akan hilang kepercayaan terhadap kontraktor apabila tidak menerima pembayaran.

“Bahan binaan yang disimpan di tapak kerja juga banyak yang rosak disebabkan hujan dan ada juga yang dicuri,” tambahnya.

Jelasnya, sebanyak 48 kontraktor terjejas teruk dengan kelewatan pembayaran ketika PKP ini yang dianggarkan RM5 juta.

Beliau turut menyarankan kerajaan supaya memantau dan mengawal langkah pembekal menaikkan harga bahan binaan seperti berlaku ketika pakej rangsangan ekonomi 1997.

PKBM juga jelasnya, mencadangkan kerajaan agar bantuan secara sekali bayaran bagi membantu kontraktor. Jelasnya, PKBM Negeri Sarawak kini mempunyai 300 ahli berdaftar.