KUCHING: Sebuah rumah dua tingkat didiami 28 penghuni punah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Semerah Padi, sekitar tengah hari, hari ini.

Ketua rumah, Haidir Wal berkata, kejadian disedari oleh beliau sendiri ketika naik ke tingkat atas kediaman tersebut untuk menunaikan solat Zohor sekitar jam 1 petang.

Beliau yang melihat api tiba-tiba muncul di hadapannya bergegas menyuruh kesemua empat sekeluarga di dalam rumah terbabit untuk segera keluar menyelamatkan diri.

“Puncanya saya tidak pasti, apa yang saya tahu kediaman atas tiba-tiba dipenuhi api marak ketika saya naik ke atas untuk menunaikan solat zohor, ” jelasnya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mengulas lanjut tentang kejadian, beliau berkata api pada awalnya masih kecil sebelum mereka bertindak menghubungi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia(JBPM) untuk membantu memadam kebakaran.

Susulan itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak mengesahkan pihaknya telah menerima laporan kejadian dan segera mengerahkan anggota Balai Bomba Petrajaya ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat sebuah rumah dua tingkat diduduki 28 penghuni telah terbakar 80 peratus akibat kejadian,” jelas kenyataan itu.

Tambahnya, kesemua penghuni bagaimanapun disahkan selamat dan kebakaran tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Terdahulu, operasi pemadaman melibatkan lapan anggota BBP Petrajaya dan dibantu oleh tujuh anggota bomba daripada BBP Padungan.