MERADONG: Sebuah rumah struktur tidak kekal musnah secara keseluruhan akibat daripada kebakaran di Kampung Tengah Daro, hari ini.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan laporan kejadian sekitar jam 4.21 petang sebelum mengerahkan anggota daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Daro ke lokasi kejadian.

Katanya, hasil pemeriksaan awal kejadian mengesahkan ketiga-tiga penghuni berusia dalam lingkungan 25 hingga 65 tahun disahkan selamat daripada kebakaran.

“Setibanya di lokasi mendapati sebuah rumah satu tingkat berukuran 30x60x14 kaki sedang musnah terbakar hampir 100 peratus.

“Pasukan telah membuat operasi secara bertahan dengan menggunakan satu aliran 300 kaki dua nozel pam pili untuk memadam kebakaran,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, tindakan operasi seterusnya ditukar dengan menggunakan pam angkut selepas kejadian dalam keadaan terkawal berikutan tekanan air kurang pada pili bomba.

Ujarnya, operasi ditamatkan kira-kira jam 5.38 petang setelah kesemua sisa bara api telah dipadam sepenuhnya.

Terdahulu, operasi turut disertai oleh tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima daripada Angkatan Pertahanan Malaysia(APM) dan tujuh orang Pasukan Bomba Sukarelawan(PBS) Daro.