KUCHING: Kerajaan Sarawak patuh dengan arahan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu bermula pada 15 hingga 28 April nanti.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari berkata, Sarawak akan patuh dengan apa yang diumumkam oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dengan lanjutan PKP itu.

“Kita patuh dengan pengumuman Perdana Menteri untuk melanjutkan tempoh PKP dua minggu lagi.

“Ia supaya kita dapat memenangi usaha dalam membendung penularan wabak Covid-19 ini. Sarawak akan patuh,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media sempena pengumuman Pakej Bantuan Sarawakku Sayang 2.0 di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Terdahulu, PKP telah dilaksanakan di seluruh Malaysia bermula 18 hingga 31 Mac lepas dan seterusnya dilanjutkan bermula pada 1 hingga 14 April.

Kerajaan Persekutuan juga telah mengumumkan bahawa tempoh PKP di seluruh negara akan berlangsung selama enam minggu sehingga 28 April nanti.