KUCHING: Perjuangan memutuskan rantaian penyebaran wabak Covid-19 memerlukan usaha semua pihak tanpa mengira sesiapa termasuk politik.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata kerajaan perlu kuat dalam pendekatannya melawan wabak tersebut.

“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak mempunyai pilihan selain memanjangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April sebagai langkah mengekang penularan wabak berkenaan.

“Ahli politik tidak boleh mempolitikan isu Covid-19 yang bahaya sehingga boleh membawa maut,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Tambah Masing, Covid-19 tidak mengira kedudukan, etnik dan kepercayaan agama sehingga boleh membunuh sesiapa sahaja yang dijangkiti.

“Malaysia kini mesti belajar untuk menjalani kehidupan normal dalam cara menjalankan perniagaan, gaya hidup sosial dan etika keagamaan.

“Perhimpunan ramai di gereja-gereja, masjid dan tempat keagamaan lain mungkin perlu dikurangkan sehingga Covid19 dipulihkan.

“Marilah kita berdoa mengikut kepercayaan masing-masing supaya dilindungi daripada musuh yang tidak kelihatan,” katanya.

Petang tadi semasa berucap dalam perutusan khas, Perdana Menteri telah mengumumkan PKP dilanjutkan sehingga 28 April ini.