KUALA LUMPUR: Seramai 7,749 jumlah individu seluruh negara ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada 18 Mac sehingga 9 April, tahun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tangkapan yang dilakukan susulan operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, sehingga semalam sebanyak 775 SJR melibatkan kedua-dua penguatkuasa terbabit telah dijalankan di seluruh negara.

“Hasil operasi telah mencatatkan pemeriksaan ke atas 508,605 kenderaan, 38, 854 pemeriksaan mengejut dan 5,538 premis diperiksa oleh pihak penguatkuasa di seluruh negara.

“Semalam seramai 666 individu ingkar PKP telah ditahan, di mana 392 individu dikenakakan kompaun RM1,000 dan 263 individu direman manakala 11 individu dijamin polis.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap langsung pada sidang media di Perdana Putra, hari ini.

Tambahnya, kawalan SJR pihak penguatkuasa akan turut dibantu dengan kekuatan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) bagi mastikan kekerapan operasi rondaan PDRM bertambah.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 1,125 operasi sanitasi awam di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang melibatkan 83 zon termasuk 24 zon merah dan 15 zon kuning dilaksanakan sejak 30 Mac tahun ini.

“Semalam sebanyak 171 operasi sanitasi meliputi 51 zon di 12 negeri termasuk 43 kawasan di Johor dan 39 kawasan di Kuala Lumpur.

“773 kawasan telah dinyah cemar meliputi bangunan kerajaan, 496 tempat awam, 422 pusat perniagaan, dan 100 pasar raya,” tambah beliau.

Selain itu, jelas Sabri, semalam empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah dinyah cemar, menjadikan keseluruhan PPR yang telah dinyah cemar sebanyak 34 buah melibatkan 34, 295 unit rumah.

Ujar beliau, seramai 10,338 individu telah diarahkan untuk menjalani proses kuarantin wajib pada 146 buah pusat kuarantin yang beroperasi setakat semalam.