KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) menggesa orang ramai supaya tidak memelihara haiwan liar sebagai haiwan peliharaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata haiwan liar sepatutnya dibiarkan hidup bersama habitatnya dan tidak terganggu.

“Haiwan peliharaan ini mungkin pembawa penyakit zoonotik apabila haiwan itu sakit dan lemah akibat tekanan sehingga boleh menjangkiti manusia seperti Covid-19 yang dialami kita sekarang iaitu, penyakit yang disyaki dipindahkan dari pangolin ke manusia.

“Monyet dalam dokumentasi Sarawak adalah sebagai pembawa penyakit malaria dan zoonotik lain,” katanya dalam suatu kenyataan media, hari ini.

Khamis lalu, pegawai penguatkuasa SFC menyelamatkan seekor monyet spesies ‘macacafascicularisis’ di Sibu yang ditinggalkan oleh pemiliknya pulang ke kampung.

Terdahulu, SFC menerima panggilan telefon daripada orang awam yang mendakwa seekor monyet ditinggalkan oleh pemiliknya yang pulang ke kampung kerana sakit.

Haiwan itu ditinggalkan sendirian tanpa pengawasan kerana sekatan pergerakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Monyet tersebut telah diselamatkan dan disimpan di tempat yang selamat.

Monyet adalah spesies yang dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998 yang menetapkan mana-mana individu yang memburu, membunuh, menangkap, menjual atau memiliki sebarang binatang terlindung adalah melakukan suatu kesalahan dan akan menghadapi penjara satu tahun dan denda RM10,000.

Orang ramai boleh membuat laporan kepada SFC jika mendapati ada individu yang menjaga mana-mana haiwan terlindung untuk segera menghubungi hotline SFC di talian 016-8565564/019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8223449/019-8332737 (Bintulu) dan 019-8290994/018-9799778 (Miri).