110 individu ingkar PKP dikenakan kompaun RM1,000 hari ini

KUCHING: Tindakan tegas polis untuk tidak lagi berkompromi terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan seramai 110 individu telah dikenakan kompaun RM1,000, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar M.m Sree berkata, jumlah denda tersebut hasil operasi kawalan di seluruh negeri dalam tempoh 24 jam dari 8 pagi semalam sehingga jam 8 pagi, hari ini.

Katanya, kesemua individu yang dikenakan kompaun merupakan mereka yang masih gagal menunjukkan alasan munasabah ketika ditahan berada di jalan raya ataupun tempat awam.

“Kuching merupakan kawasan tertinggi individu dikenakan kompaun dengan jumlah seramai 22 orang, diikuti Sibu(20), Sarikei(11), Kota Samarahan(9),Betong(9), Miri(7), Bau(6), Padawan(5), Kapit(4),Simunjan(3), Bintulu(2), Serian(2), Matu Daro(2), Song(2), Marudi(2),Kanowit(2), dan Lawas(2).

“Turut ditangkap atas kesalahan sama seramai 13 orang di sembilan daerah sekitar Sarawak,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua pesalah terbabit telah ditahan di bawah Peraturan 11(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Susulan itu, dedahnya, jumlah tangkapan dan kompaun secara keseluruhan semenjak 18 Mac 2020 kini masing-masing berjumlah 586 dan 374 orang.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak