BINTULU: Tiga lelaki berusia antara 18 tahun hingga 32 tahun ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar kawasan ini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden , Zulkipli Suhaili , berkata tangkapan dilakukan terhadap ketiga-tiga lelaki tempatan itu di bawah dibawah Peraturan 3 (1) Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Katanya, tangkapan ke atas ketiga lelaki itu dibuat dalam rondaan Op Covid19 dan pemeriksaan ‘Snap Check’ di Jalan Rakawi Yusuf dan Jalan Sultan Iskandar, di sini antara jam 12:15 hingga 12:35 tengah malam, semalam.

Selepas pemeriksaan dijalankan ketiga-tiga lelaki itu gagal memberi keterangan munasabah mengenai pergerakan mereka dengan memberikan alasan pulang berbual daripada rumah rakan, ujarnya.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bintulu untuk tindakan lanjut kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiap subjek, tambahnya, telah dikenakan tindakan kompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan yang mana denda setiap kompaun adalah RM1,000.

“Pihak Polis menasihati orang awam supaya mematuhi arahan dikeluarkan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan keatas mereka yang ingkar dan tidak mematuhi arahan,“ tegas Zulkipli.