KUCHING: Gurauan berebut masuk tandas menjadi petanda akhir buat si ibu setelah nahas dalam kejadian rumah runtuh di Kampung Bentara, Wawasan Jaya 2, Samariang Batu, pagi hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Hajijah Mahtar berumur 72 tahun maut akibat dihempap dinding bata ketika dapur rumah tersebut runtuh.

Anak sulungnya, Mustapha Mohammad Saat yang ditemui di lokasi berkata, kejadian berlaku selepas beliau datang ke rumah terbabit sekitar jam 7 pagi.

Mustapha tiba di rumah tersebut pada jam 6.30 pagi bagi menjemput ayahnya membuat pemeriksaan kesihatan ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Katanya, hasrat untuk ke tandas rumah kerana sakit perut terhenti setelah ibunya bertindak masuk ke tandas terlebih dahulu sebelum beliau.

“Saya sempat lagi mengetuk pintu tandas dan mengejeknya agar jangan terlalu lama di dalam tandas.

“Sejurus selepas balik semula ke bilik ayah tiba-tiba kedengaran bunyi runtuhan kuat datang dari arah dapur, ” jelasnya.

Tambahnya, kebiasaan ibu tidak akan ke tandas yang berada di dapur itu sebaliknya hanya menggunakan tandas bilik sahaja.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak maklum pihaknya menerima laporan sekitar 7.25 pagi sebelum mengarahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petrajaya ke lokasi.

“Kejadian melibatkan sebuah rumah jenis struktur tidak kekal berukuran 30×15 telah runtuh di bahagian dapur.

“Akibat daripada kejadian seorang wanita berusia 72 tahun yang terperangkap di lokasi disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Dedahnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat runtuhan.

Susulan itu, mayat mangsa telah dihantar ke HUS bagi tindakan lanjut.