23 April tarikh lihat anak bulan Ramadan

KUALA LUMPUR: Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia adalah pada Khamis 23 April ini bersamaan 29 Syaaban 1441 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Majlis Raja-Raja dalam satu kenyataan di sini kelmarin menyatakan, tempat melihat anak bulan Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan di 15 kawasan terpilih.

Tempat berkenaan adalah di Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka; Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam (Selangor); Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong (Perak). Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); Menara Alor Setar (Kedah); Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu (Terengganu); Menara Bangunan SEDC di Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu (Kelantan). Teluk Bandung, Kuching (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan (Sabah); Bukit Pelindong, Kuantan (Pahang); Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa (Labuan); Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis). Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah serta hisab.

“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang ditetapkan menerusi media elektronik dan televisyen,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Suara Sarawak