KEMENTERIAN Belia dan Sukan menyeru Badan Bukan Kerajaan (NGO) terutamanya persatuan sukan menganjurkan lebih banyak acara dalam talian untuk disertai oleh belia tempatan bersama rakan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, NGO tempatan juga boleh bekerjasama dengan pihak kementerian dalam menganjurkan acara dalam talian seperti permainan bola sepak dan Mobile Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) yang boleh disertai oleh pemain dari setiap lapisan masyarakat.

“Kami menyeru NGO tempatan termasuk persatuan sukan untuk terus mencari pendekatan dalam menganjur lebih banyak acara dalam talian seperti permainan sukan elektronik (e-sukan) yang sememangnya digemari oleh golongan belia,” katanya dalam satu kenyataan media kelmarin.

Menurutnya, sambutan hangat terhadap penganjuran Pertandingan Cabaran E-Sukan Belia Dari Rumah Sarawak 2020 dianjurkan oleh KBS dan Persatuan eSports Sarawak (SESA) telah menunjukkan bahawa acara dalam talian begitu digemari oleh golongan belia dari seluruh negeri termasuk mereka yang menetap di luar Sarawak.

Siri pertama acara itu telah diadakan dari 10 April hingga 13 April sementara siri kedua diadakan pada 20 April hingga 22 April di mana hampir lebih 1,000 peserta telah mengambil bahagian dalam permainan dalam talian yang dipertandingkan iaitu FIFA 2.0, PUBG-Mobile dan Mobile Legend Bang Bang (MLBB).

Beliau berkata, kementerian sentiasa bersikap terbuka dalam menerima mana-mana cadangan penganjuran acara dalam talian pada masa akan datang. Menurutnya, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan NGO dalam mengadakan lebih banyak aktiviti agar para belia tempatan turut serta sambil duduk di rumah masing-masing.

“Ini adalah sebahagian dari usaha kami untuk menyusun rapi strategi dan program untuk golongan belia yang mesti mematuhi arahan PKP yang telah dilanjutkan sehingga bulan Mei depan.

“Oleh itu, kami mengalu-alukan NGO tempatan untuk menganjur lebih banyak aktiviti dalam talian yang akan membantu golongan belia mengisi masa lapang mereka dengan perkara-perkara yang berfaedah sambil duduk di rumah sepanjang tempoh lanjutan PKP,” ujarnya