KETUA pasukan Kuching FA, Rafiezan Razali akur dengan sebarang keputusan pihak kerajaan, termasuk membatalkan pertandingan musim ini.

Namun jauh di sudut hatinya, beliau berharap sangat agar perlawanan Liga Malaysia 2020 diteruskan jika keadaan mengizinkan selepas tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebagai pemain bola sepak sepenuh masa, ia adalah periuk nasi kami.

“Sekiranya ia dibatalkan atau ditangguh untuk jangka masa panjang, sudah pasti ia akan menjejaskan sumber pendapatan pemain,” kata Rafizan.

Katanya, sebahagian besar pemain bergantung sepenuhnya kepada Liga Malaysia untuk menyara keluarga.

Namun beliau tetapi menerima sebarang keputusan sekiranya pihak kerajaan mengambil keputusan muktamad untuk menghentikan terus atau membatalkan saingan musim ini.

“Jika itu keputusan pihak kerajaan, demi kesihatan semua pihak… saya terima dan akur,” ujarnya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan sebarang perhimpunan awam atau membabitkan orang ramai tidak dibenarkan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah berakhir.

Ia termasuk menghentikan saingan Liga Malaysia 2020.

Bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan sama ada, hanya menangguh untuk tempoh tertentu atau membatalkannya.

Sebelum ini, FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyatakan kesediaan untuk menyambung semula aksi sekiranya mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan.

Menurut FAM dan MFL, perlawanan yang disambung semula akan diadakan secara tertutup dengan semua pemain, jurulatih, pegawai dan mereka yang terlibat akan menjalani ujian saringan sebelum memasuki padang.