50 ditangkap, bayar RM1 ribu

KUCHING: Dua anggota tentera yang mengaku bersalah merupakan sebahagian daripada 50 individu yang didenda RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kota Samarahan semalam.

Anggota tentera berusia 33 dan 35 tahun itu mengaku bersalah mengikut Seksyen 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Kejadian) (3) 2020.

Mereka didapati berkumpul di sebuah rumah di Taman Merdang Gayam, Kota Samarahan. Perbuatan tertuduh sedang berkumpul dan menggunting rambut telah dirakam jiran dan kemudiannya diviralkan melalui aplikasi Facebook.

Pada 17 April lalu, pada jam 5.16 petang anggota polis telah datang ke rumah tertuduh dan menunjukkan gambar tertuduh bersama-sama beberapa orang lagi sedang berkumpul ketika sesi menggunting rambut.

Tertuduh diminta bersama-sama beberapa orang lagi ke balai polis berdekatan dan menghadiri perbicaraan di mahkamah untuk membayar kompaun.

Sementara itu, seramai 63 individu ingkar perintah kawalan pergerakan dikenakan denda antara RM600 hingga RM800 seorang atau sebulan penjara di mahkamah Kuching semalam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Kejadian) 2020.

Suara Sarawak