89 individu dikenakan kompaun RM1000 ingkar PKP

KUCHING: Seramai 89 individu dikenakan denda kompaun RM1,000 akibat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dalam tempoh 24 jam dari 8 pagi sehingga 8 pagi, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar M.m Sree berkata, kesemua suspek gagal memberikan alasan munasabah ketika ditahan berada di jalan raya dan tempat awam.

Menurutnya, Kuching mencatatkan jumlah individu dikenakan kompaun tertinggi iaitu seramai 33 orang, diikuti Padawan (15) dan Sarikei seramai lapan orang.

“Tindakan kompaun selebihnya di daerah Bau dan Betong seramai enam orang, Kapit (5), Miri (3), Kota Samarahan (3), Saratok (3), Sibu (2), Sri Aman (2), Meradong (2), dan Kanowit (1),” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, tiga individu turut ditangkap atas kesalahan sama masing-masing di daerah Kuching, Sibu dan Song.

Dedahnya, salah seorang suspek yang ditahan merupakan wanita berusia 25 tahun bertindak degil ketika ditahan di belakang sebuah hotel sekitar jam 12.45 pagi.

“Suspek yang tidak mahu memberi kerjasama apabila ditanya ditangkap dan seterusnya dijamin polis setelah kenyataan diambil,” tegasnya.

Suara Sarawak