Aidil Hafiz jaguh e-sukan

AIDIL HAFIZ AZRI dinobatkan sebagai juara sukan elektronik kategori FIFA 20 dalam Pertandingan Cabaran E-Sukan Belia Dari Rumah Sarawak yang berlangsung selama dua hari, pada 10 April hingga 11 April lepas.

Dengan kejayaan itu, Aidil meraih RM2,000 dan hadiah akan dimasukkan ke akaun peribadi beliau melalui perbankan secara dalam talian.

Aksi akhir kelmarin menyaksikan saingan antara Aidil dengan Ahmad Shahreezal dengan jumlah penonton seramai 4,400 secara dalam talian menggunakan aplikasi facebook.

Aidil berjaya mengalahkan Ahmad dengan catatan mata 4-2.

Ahmad Shahreezal Mohamad Ghazali pula yang menduduki tempat kedua berjaya mendapat hadiah RM1,000.

Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Muhammad Nasrullah Mohammad Asmawie yang berjaya mendapat hadiah RM800.

Tempat keempat dan kelima dimenangi oleh Mohd Ajral Aswad dan Arish Syameer.

Masing-masing mendapat hadiah wang berjumlah RM300. Tempat keenam hingga ke-10 pula mendapat hadiah RM100 bagi setiap pemenang.

Presiden Persatuan E-Sukan Sarawak, Afiq Fadhli Narawi berkata, seramai 256 orang peserta yang mengambil bahagian dalam kategori FIFA 20 secara atas talian dan perlawanan berjalan dengan lancar walaupun diadakan di rumah masing- masing.

“Semua peserta menunjukkan disiplin dengan mematuhi peraturan untuk terus tinggal di rumah.

“Para peserta juga telah menampilkan bakat yang luar biasa dan pada perlawanan akhir kita telah mendapat jumlah penonton keseluruhan seramai 4,400 orang,” katanya semasa dihubungi Suara Sarawak kemarin.

Tambah beliau, dengan jumlah tontonan yang ramai ia seolah-olah berada di stadium yang sebenar apabila mendapat komen-komen sorakan daripada kedua-dua individu yang bertanding.

Suara Sarawak