Awas, jika manusia leka pandemik lain akan muncul!

PARIS: Pandemik Covid-19 dipercayai muncul dari pasar basah di kota Wuhan, wilayah tengah China akhir 2019. Para saintis berpendapat ia berasal dari kelawar dan ditularkan melalui mamalia lain seperti tenggiling, spesies haiwan yang daging dan sisiknya sangat berharga di beberapa kawasan di Asia.

Tetapi penyelidik belum menemukan jawapan pasti, bagaimana virus tersebut berpindah kepada manusia. Sama ada ia berasal dari kelawar atau tenggiling masih tidak pasti. Namun yang pasti, wabak Covid-19 yang membunuh puluhan ribu orang dan menjadikan dunia tidak menentu, datang dari dunia binatang.

Kemungkinan aktiviti manusia sendiri yang membolehkan virus ini menyerang manusia, dan pakar memberi amaran jika tiada perubahan, banyak lagi pandemik alam ini akan menyusul.

Nama yang diistilahkan kepada penyakit yang ditularkan daripada haiwan kepada manusia ini ialah “zoonosis” berdasarkan perkataan Greek untuk “binatang” dan “penyakit”. Penyakit seperti tuberkulosis, rabies, toxoplasmosis, malaria, bukan perkara baru. Semuanya zoonosis.

Menurut Program Alam Sekitar PBB (UNEP), 60 peratus penyakit berjangkit manusia berasal dari pada haiwan. Angka ini meningkat menjadi 75 peratus untuk penyakit “baharu muncul” seperti ebola, HIV, selesema burung, zika, atau SARS, sejenis virus korona lain dan senarai itu dikatakan akan bertambah.

“Kemunculan penyakit zoonosis sering dikaitkan dengan perubahan alam sekitar atau gangguan ekologi, seperti kegiatan pertanian dan penempatan manusia, atau pencerobohan hutan serta habitat lain,” menurut laporan UNEP 2016. “Perubahan persekitaran biasanya merupakan hasil kegiatan manusia, daripada perubahan penggunaan tanah hingga kepada perubahan iklim.”

Gwenael Vourc’h dari INRAE, sebuah institusi penyelidikan awam Perancis juga menyalahkan aktiviti manusia antara sebab berlakunya jangkitan antara spesies. “Memandangkan pertumbuhan dalam populasi manusia dan penggunaan sumber planet yang semakin dimaksimumkan, menyebabkan semakin banyak berlakunya pemusnahan pelbagai ekosistem dengan pelbagai cara,” katanya.

Bidang utama yang menjadi perhatian ialah penebangan hutan untuk pertanian dan penternakan intensif. Haiwan peliharaan sering menjadi “jambatan” antara patogen dari alam liar dan manusia. Penggunaan antibiotik yang meluas dalam industri ternakan juga menyebabkan patogen bakteria meningkatkan kekebalan terhadap ubat-ubatan barisan depan.

Urbanisasi dan pemecahan habitat juga sangat mengganggu keseimbangan antara spesies, sementara pemanasan global boleh mendorong haiwan yang membawa penyakit berpindah ke wilayah baru.

Namun, sehingga kini penyelidik belum memberikan jawapan pasti bagaimana Covid-19 berpindah kepada manusia. Satu-satunya perkara yang pasti ialah aktiviti manusia sendiri memudahkan pemindahan virus tersebut. – AFP

Suara Sarawak