Bantuan makanan untuk 200 kampung

KUCHING: Sekitar 200 buah kampung di kawasan Dun Balai Ringin bakal menerima bantuan makanan fasa kedua.

Adun Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan berkata, operasi tersebut sedang diselaras dan ia melibatkan semua kampung di kawasan Balai Ringin.

“Bagi kawasan seperti Kampung Tuba, Muding dan kampung-kampung lain bantuan akan disalurkan secara berperingkat-peringkat dan diuruskan oleh penyelaras.

“Dari semasa ke semasa, pihak penyelaras akan menghubungi tuai-tuai rumah untuk menghantar bantuan bekalan makanan kepada kampung mereka,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Menurut Snowdan, pemberian bantuan makanan sekarang ini berjalan lancar sejak 26 Mac lalu.

“Mereka menghantar bekalan makanan dari kampung ke kampung dengan menggunakan lori dan kenderaan pacuan empat roda.

“Kumpulan penghantar bekalan makanan ini saya bahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memudahkan proses penghantaran.

“Manakala Pusat Khidmat Balai Ringin dijadikan sebagai tempat pengumpulan bekalan makanan sebelum diagihkan kepada penyelaras yang akan mengagihnya ke kampung- kampung,” jelasnya.

Terdahulu Kerajaan Negeri memperuntukkan RM16.4 juta untuk bantuan bekalan makanan di seluruh Sarawak.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak