Bantuan prihatin kerajaan bawa kelegaan kepada tukang rumah

PADANG BESAR: Seorang lelaki tua yang hanya memakai kain pelikat dan berkemeja-T bersandar di tepi dinding kayu rumahnya dan kelihatan termenung memerhatikan bengkel kayu miliknya sambil memikirkan nasib keluarga.

Yaakob Manan, 60, berkata pendapatan sebagai tukang rumah tidak menentu menyebabkan dia risau bagaimana hendak menyara isteri dan anak lelakinya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, saya hilang punca pendapatan kerana upah sebagai tukang rumah dibayar mengikut hari dan bukan bulanan seperti kerja lain,” kata Yaakob kepada Bernama sambil mengangkat beberapa keping kayu ke bengkel usang di belakang rumahnya di Kampung Titi Tinggi di sini .

Bapa kepada seorang anak itu menyusun kepingan kayu tadi di atas para untuk dijadikan bangku yang ditempah oleh jirannya.

“Saya rasa lega apabila ada jiran memberitahu bahawa kerajaan mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi orang yang berpendapatan rendah seperti saya ini,” kata Yaakob sambil memotong kepingan papan menggunakan gergaji dan sekali sekala memandang ke arah rumahnya.

Yaakob berkata dia akan menggunakan sebaik mungkin bantuan yang diberikan kerajaan untuk membeli barang makanan dan keperluan harian seperti beras, gula, lampin pakai buang serta ubat-ubatan untuk anak dan isterinya.

“Jiran cakap saya layak memohon bantuan RM1,600 daripada kerajaan memandangkan pendapatan bulanan saya hanya sekitar RM1,800 ke RM2,000 sebulan,” katanya yang turut menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) RM600 sebelum ini.

Anak tunggal Yaakob, yang kini berusia 25 tahun, hanya duduk di rumah selepas mengalami kecacatan fizikal dan menjadi kurang waras akibat nahas jalan raya. Anak OKU itu juga layak menerima bantuan bagi golongan bujang di bawah BPN.

Pada 27 Mac lepas, kerajaan mengumumkan BPN sebanyak RM9.24 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.

Pembayaran BPN ialah RM1,600 kepada golongan isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah; RM1,000 kepada isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000; RM800 kepada individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah; dan RM500 kepada individu bujang berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000.

Yaakob berkata dia akan menyerahkan wang itu kepada isterinya, Ramlah Sudin, 55, untuk menguruskan kewangan keluarga kerana tidak tahu menggunakan mesin juruwang automatik.

“Saya  belajar tidak tinggi… hanya setakat sekolah rendah, jadi lebih baik serahkan kad bank kepada isteri kerana dia lebih arif dalam perkara ini,” katanya sambil memandang ke arah Ramlah yang sedang menyapu daun-daun kering di tepi bengkel.

Yaakob dan keluarganya merupakan antara ribuan rakyat Malaysia yang menerima bantuan kerajaan menerusi pakej Prihatin selepas hilang punca pendapatan sejak PKP dikuatkuasakan untuk memutuskan rantaian COVID-19.

 

Suara Sarawak