Bazar Ramadan: Kerajaan Sarawak pertimbang jualan atas talian

MIRI: Kerajaan Sarawak mempertimbangkan penganjuran e-bazar Ramadan selaras saranan supaya tiada perhimpunan beramai-ramai bagi tempoh enam bulan sehingga satu tahun berikutan penularan Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan perkara itu pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Bantuan Bekalan Makanan Sarawak Bahagian Miri di sini, kelmarin.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawa mengambil keputusan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan diadakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Kita tidak akan mengadakan bazar Ramadan, begitu juga bazar Gawai kerana tarikh kedua-dua perayaan ini agak dekat. “Keputusan ini diambil kerana kita tidak mahu Covid-19 berterusan menjejaskan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan tetap memastikan ketiadaan bazar Ramadan digantikan dengan e-bazar. “Saya akan menganjurkan satu aktiviti untuk kita gantikan bazar Ramadan. Mungkin kita akan adakan e-bazar. “Ini tepat pada masanya kerana Kerajaan Sarawak memang menggalakkan penggunaan teknologi,” jelasnya.

Abang Johari yakin e-bazar atau jualan atas talian merupakan cara paling berkesan untuk membekalkan barangan keperluan pada bulan Ramadan dan Hari Gawai Dayak.

“Selalunya bazar ini diadakan di bandar atau di pinggir bandar, jadi ini tidak menjadi masalah. “Bagi mereka yang kurang arif dengan penggunaan teknologi, mereka boleh belajar di pusat SMA-Tegas yang wujud di beberapa bahagian di Sarawak,” ujarnya.

Suara Sarawak