Bebaskan spesies dilindungi

MIRI: Tiga burung hantu jenis skop berkolar berjaya diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) oleh seorang warga tempatan di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC yang juga Pengawal Kehidupan Liar Zolkipli Mohamad Aton berkata, tindakan individu tersebut amat dihargai. “Burung hantu merupakan antara haiwan yang dilindungi sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

“Mana-mana pihak yang didapati memelihara spesies yang dilindungi ini, boleh dikenakan hukuman penjara satu tahun dan denda RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurutnya, tindakan masyarakat menyerahkan haiwan itu jelas menunjukkan bahawa ia merupakan satu tanggungjawab mereka dalam menjaga kewujudan hidupan liar itu.

Beliau turut menekankan bahawa haiwan liar sebaik-baiknya dibiarkan bebas di alamnya sendiri sebagai sebahagian daripada komuniti hutan.

Difahamkan, ketiga-tiga burung hantu itu dijumpai di hadapan sebuah lot kedai di Taman Tunku Miri dan akan diletakkan di Cagar Alam Piasau sebelum melepaskannya ke hutan.

Bagi orang awam yang mempunyai maklumat mengenai perjumpaan hidupan liar, amat digalakkan untuk menghubungi talian hotline SFC di 019-8859996, 016-8565564 untuk Kawasan Kuching, Sibu (019- 8190140, 019-8894474), Bintulu di 019-8223449, 019-8332737, atau Miri SERAH… di 019-8224566, 019-8290994

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak