Berat sama dipikul, setengah jam berjalan kaki pikul barang makanan

SARIKEI: Berjalan kaki lebih setengah jam sambil memikul barangan makanan untuk sampai ke rumah penerima, selain terpaksa berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Itulah sebahagian daripada cabaran yang dihadapi petugas sukarelawan yang mengagihkan bantuan di kawasan Kuala Rajang. Ketua Pemuda PBB Kuala Rajang Mohd Tazullah Khan berkata, pasukannya bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan menggunakan beberapa kenderaan termasuk lori.

Bagaimanapun katanya, terdapat kawasan penempatan yang tidak boleh dimasuki kenderaan kerana laluan masuk terlalu sempit. “Kita tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa memikul barangan itu dengan berjalan kaki hingga sampai ke rumah penerima.

“Bagi kawasan yang hanya boleh dihubungi sungai pula, kami bergerak mengikut pasang surut air bagi memudahkan penghantaran barang ke jeti,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tazullah berkata, walaupun berdepan pelbagai halangan, pasukannya komited dan memberikan kerjasama sehingga proses penghantaran bantuan berjalan lancar. Setakat ini katanya, agihan sumbangan meliputi 85 peratus penerima untuk Zon Sarikei sahaja.

“Sumbangan kami tidak sebesar mana namun, kami gembira kerana berpeluang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan yang membantu menjayakan misi bantuan ini,” katanya.

Tazullah memberitahu, sumbangan bantuan daripada dana Kerajaan Sarawak yang disalurkan melalui Adun Kuala Rajang dan Ahli Parlimen Tanjong Manis itu merupakan bukti keprihatinan kerajaan.

Sehubungan itu katanya, agihan bantuan disalurkan secara sama rata bagi bagi yang layak menerimanya. “Jika ada yang belum menerimanya, mereka boleh mengemukakan aduan kepada ketua kampung, tuai rumah, temenggong atau penghulu di kawasan masingmasing,” ujarnya.

Suara Sarawak