Buang topeng muka, sarung tangan terpakai secara berhemah

KUCHING: Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), setiap penduduk dinasihati mengamalkan pembuangan topeng muka dan sarung tangan terpakai ke dalam tong sampah dengan sebaik-baiknya.

Trienekens Sarawak Sdn Bhd berkata, jika tidak ia dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan orang ramai dan mencemarkan alam sekitar.

Untuk itu, masyarakat digesa lebih bijak menguruskan topeng muka dan sarung tangan terpakai dengan memasukkan sampah tersebut ke dalam beg sampah, diikat dan dibuang ke dalam tong sampah. “Kami menyarankan orang ramai agar terus mengekalkan kebersihan di kawasan kediaman.

“Bijak mengurus sampah dan elak membuang sampah sesuka hati kerana ia boleh mengundang masalah terutama melibatkan kesihatan. “Sebaik-baiknya masukkan sampah ke dalam tong sampah agar mudah dikutip dan dikosongkan oleh pekerja Trienekens,” jelasnya kelmarin.

Selain itu, pihaknya juga menyarankan agar konsep kitar semula bahan buangan seperti botol plastik, kertas, aluminium dan sebagainya diamalkan oleh setiap masyarakat dalam tempoh ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens Sarawak Stephen Chin menerusi Facebok rasmi Trienekens menjelaskan, norma baharu perlu diterima sebagai satu amalan harian syarikat dan terus dipraktikkan selepas ini.

Beliau menghargai usaha setiap kakitangan logistik dan pengurusan Trienekens yang berterusan menjalankan tanggungawab yang mencabar terutamanya kepada pasukan pengurusan di Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching dan di Kidurong, Bintulu.

“Komitmen semua yang terus berkhidmat kepada komuniti kini amat kami hargai. “Kami juga akan terus memberikan sokongan kepada pelbagai insiatif kerajaan bagi memastikan masyarakat terus selamat dan sihat.

“Terima kasih kepada semua barisan hadapan Trinekens, semua pasukan pengurusan dan semua pihak berkepentingan yang berterusan menyokong antara satu sama lain. “Semoga diri anda dan keluarga terus diberkati,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak