Centexs perkenal terowong sanitasi

KUCHING: Centexs memperkenalkan terowong sanitasi yang dinamakan Covid Buster yang pertama di Sarawak di Plaza Merdeka di sini, semalam.

Alat yang dikenali sebagai C-Mosh Sanitizer tersebut diedarkan oleh Centexs sebagai usaha untuk mencegah penularan virus Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman berkata, Centexs menghasilkan sebanyak 25 unit terowong sanitasi tersebut dengan kos untuk menghasilkan satu unit bernilai RM10,000.

Katanya, terowong sanitasi ini direka dua minggu lalu sejak PKP berkuat kuasa.

“Kami dapati ia penyelesaian yang efektif untuk mencegah orang ramai selepas disaring dan risiko membawa virus dari pakaian mereka.

“Terowong ini mengeluarkan embun dengan menggunakan teknologi terkini. Jika orang ramai terdedah embun ini selama 10 saat, ia akan membersihkan diri mereka,” jelasnya pada pelancaran Covid Buster di Plaza Merdeka semalam.

Tambah beliau, teknologi pembuatan embun ini mampu mengeluarkan jutaan embun sejam dalam saiz 5 micron hingga 10 micron untuk tujuan nyahkuman dengan segera dan efektif.

Syed Mohd Hussien turut memberitahu, terowong Covid Buster ini dihasilkan untuk kegunaan bangunan komersial, pusat beli-belah dan hospital.

Selain itu, teknologi Centexs ini turut menghasilkan terowong untuk kegunaan di rumah. Plaza Merdeka menerima empat terowong Covid Buster ini untuk diletakkan di setiap pintu masuk pusat membeli belah tersebut.

Pengarah Urusan Plaza Merdeka Holding Sdn Bhdz Datuk Steve Ng Thian Yew, Pengarah Plaza Merdeka Sdn Bhd, Datin Anriza Wong Cordero dan Pengurus Besar Centexs Mohamad Shahren Mohammad Yusri turut hadir majlis pelancaran tersebut.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak