Covid-19: Lelaki lari dari Hospital Umum Sarawak diberkas polis

KUCHING: Seorang remaja lelaki Orang Disyaki (PUI) covid-19 yang bertindak melarikan diri daripada Hospital Umum Sarawak berjaya diberkas polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, remaja terbabit dijumpai seorang diri oleh orang awam di kawasan Taman Hussien kira-kira jam 4.25 petang.

Beliau mengesahkan bahawa suspek merupakan salah seorang pesakit PUI yang sedang menjalani rawatan di hospital terbabit.

“Hasil soal siasat remaja itu mengaku telah keluar daripada HUS.

“Beliau merupakan salah seorang pesakit yang mengadu sesak nafas daripada Pusat Jantung Kota Samarahan sebelum dipindahkan ke HUS pada 9 April 2020,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Din, suspek telah pun ditahan dan dibawa ke balai polis Gita selepas orang awam hadir meminta untuk menahan suspek di lokasi kejadian.

Tambahnya, suspek seterusnya dihantar semula ke HUS dengan menaiki kenderaan ambulans hospital pada hari yang sama beliau ditangkap.

Susulan daripada itu, Din berkata, tindakan nyah cemar pada balai polis berkenaan serta ujian saringan kepada anggota yang terlibat menahan mangsa turut dilakukan selepas kejadian.

Suara Sarawak