Covid-19: Mukah zon hijau baharu

KUCHING: Mukah diisytiharkan sebagai zon hijau Covid-19 pada hari ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Sehubungan itu, katanya ia menjadikan Sarawak mempunyai sebanyak 27 kawasan yang diletakkan sebagai zon hijau Covid-19.

“Satu lagi kawasan hijau ialah Mukah. Walaupun kawasan ini pernah ada satu kes positif tetapi ia sudah pulih,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Justeru, Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata orang dari kawasan zon merah iaitu Kuching dan Samarahan adalah dilarang memasuki kawasan zon hijau.

“Kemasukan orang dari zon merah ke zon hijau amat dilarang termasuk untuk urusan perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi nyah cemar telah dijalankan di 14 kawasan di seluruh negeri, hari ini.

Katanya ia akan diteruskan dari semasa ke semasa terutama dalam kawasan zon merah.

Sementara, Uggah berkata Sarawak berada dalam keadaan yang terkawal ketika ini dengan kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 97 peratus.

“Saya menyeru agar rakyat Sarawak terus mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan demi mengekang penularan Covid-19 ini daripada terus merebak,” katanya.

Suara Sarawak