Dua hadapi detik cemas kereta terbabas ke dalam parit

BINTULU: Dua nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke dalam parit di kawasan Batu 9, Jalan Bintulu- Miri dalam kejadian 3.15 petang Ahad.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu dalam kenyataannya berkata kemalangan kendiri itu berlaku ketika keduanya sedang bergerak dari arah Miri menuju ke Bintulu.

Apabila tiba di satu laluan lurus (hadapan Kampung Penan Muslim), kereta yang dinaiki kedua mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam parit sebelah kiri jalan, katanya.

Impak kemalangan tersebut, katanya lagi, menyebabkan kereta dinaiki kedua rakan itu remuk di bahagian hadapan dan atas kereta dan difahamkan kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam sementara menunggu pasukan bomba dan penyelamat tiba.

Menurutnya, pasukan Paramedik yang tiba di lokasi kejadian turut memberikan rawatan awal buat kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan itu sebelum menghantar mereka ke Hospital Bintulu bagi diberikan rawatan lanjut.

Kes ini akan disiasat di bawah Rule 10, LN166/59.

Keaadan kereta yang dinaiki dua rakan selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di di kawasan Batu 9, Jalan Bintulu- Miri, petang Ahad.

Suara Sarawak