Dua kematian Covid-19 hari ini

KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan dua kes kematian Covid-19, menjadikan jumlah kematian sebanyak 12 kes.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kematian ini adalah dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menjelas lanjut, beliau berkata mangsa kematian kesebelas merupakan seorang lelaki berumur 72 tahun dari Taman Sebah Height, Kuching.

“Beliau telah dikesan positif Covid-19 pada 28 Mac lalu dan meninggal pada jam 1.37 petang,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Manakala, Karim berkata mangsa kematian kedua belas merupakan seorang lelaki berumur 53 tahun dari Batu Kawa, Kuching.

Katanya kes telah mendapat rawatan di HUS pada 31 Mac dan disahkan positif Covid-19 pada 2 April.

“Kes telah meninggal dunia pada jam 12.39 pagi. Setakat ini belum dipastikan kes telah mempunyai kontak dengan orang yang telah disahkan
positif Covid-19,” katanya.

Sementara, Karim yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata terdapat 10 kes baharu positif Covid-19, menjadikan
jumlah di Sarawak sebanyak 264 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Menurutnya daripada 10 kes tersebut, 9 kes dirawat di HUS dan satu kes dirawat di Hospital Sibu.

Karim menambah pada hari ini, sebanyak 50 kes baharu Individu Dalam Siasatan (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,629 kes.

Katanya daripada jumlah itu, 1,304 kes adalah negatif dan 61 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.

Statistik kes PUI baharu mengikut daerah ialah Kuching (17), Bau (2), Samarahan (5), Simunjan (3), Serian (1), Sri Aman (1), Betong (4), Saratok (3), Sibu (1), Kapit (4), Song (1) dan Miri (8).

Suara Sarawak