Fasa ketiga PKP boleh putuskan rantaian wabak

PUTRAJAYA: Fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disifatkan tempoh penting yang berupaya menamatkan penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, keyakinan itu bersandarkan kepada perkembangan statistik semasa penularan wabak terbabit.

Sehubungan itu, katanya, kesinambungan kawalan yang menyaksikan kejayaan hingga kes Covid-19 berupaya dikurangkan menerusi PKP fasa pertama dan kedua harus diteruskan pada fasa ketiga.

“JP Morgan sebelum ini menjangkakan kita bakal berdepan peningkatan kes mendadak sebanyak 6,300 kes esok (hari ini), tetapi setakat jam 12 tengah hari tadi (semalam), Malaysia hanya mencatat 4,817 kes.

“Esok (hari ini) saya jangkakan jumlah keseluruhan positif Covid-19 adalah kurang daripada 5,000 kes dan ia hasil keberkesanan daripada PKP fasa pertama dan kedua.

Setakat minggu ke-13, Malaysia masih dalam fasa pemulihan daripada penularan wabak Covid-19, tetapi kita akan terus pantau sebab kes belum berkurangan lagi,” katanya semalam.

Suara Sarawak