Harapkan keajaiban selepas 14 April

KUCHING: Jika PKP tidak dilanjutkan selepas 14 April, ia merupakan satu keajaiban besar kepada negara, kata Datuk Peter Minos. Penganalisis politik itu berkata, hal tersebut kerana jika kita lihat pada kes kematian dan jangkitan Covid-19 masih terdapat peningkatan.

“Sehubungan itu, di dalam hati setiap daripada kita sentiasa berfikir dan berdoa begaimana krisis wabak Covid-19 akan berakhir pada 14 April,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.

Beliau menyatakan, anak perempuannya memberitahu bahawa masyarakat mempunyai kira-kira 10 hari lagi untuk pergi kepada 14 April. “Dengan suara yang menunjukkan ketegangan dan tekanan serta dengan nada kebimbangan…dia meluahkan kegusarannya.

“Terperangkap di rumah selama beberapa hari sehingga kini, siapa tidak berasa gelisah dan gugup?,” soalnya. Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) itu juga menjelaskan, untuk mengurangkan wabak tersebut mereka tidak mempunyai pilihan lain selain mematuhi PKP.

“Jika ia dilanjutkan selepas 14 April, maka ia perlu dilaksanakan. Kita semua mesti menerimanya, bukan menyenangkan,” ujarnya lagi. Tambah beliau, krisis ini datang secara tidak diundang dan perlu diatasi dengan apa sahaja yang diperlukan.

“Kita perlu bersama-sama menentang penularan wabak ini dengan kerajaan, kita pasti akan berjaya. “Kita akan berjaya memerangi penularan wabak yang tidak nampak tetapi boleh membawa maut ini, saya yakin rakyat Malaysia boleh melakukannya. Ya kita boleh,” tegasnya

Suara Sarawak