Ikan kering daripada kubah pengering solar

KUCHING: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sarawak bersama-sama Persatuan Nelayan Kawasan Buntal (PNKB) mengambil inisiatif membuat ikan kering menggunakan kubah pengering solar.

Projek perintis pertama ini adalah untuk bagi menyelesaikan masalah ikan segar yang tidak habis dijual di kawasan itu.

Timbalan Pengarah LKIM Sarawak Intan Suhaila Othman berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) para nelayan di kawasan itu menghadapi masalah apabila hasil tangkapan yang tidak habis dijual.

“LKIM Sarawak dan PNKB membeli lambakan ikan terutama daripada nelayan pantai dan darat.

“Selepas itu, kita memasarkan ikan-ikan tersebut melalui kaedah secara atas talian atau penghantaran ke rumah pembeli.

“Ikan yang tidak habis dijual pula akan dikeringkan dalam kubah pengering solar yang merupakan kubah pertama dibina oleh LKIM dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikan semasa Program Lawatan Kerja Menteri Muda Pertanian Datuk Dr Abdul Rahman Ismail di Persatuan Nelayan Kawasan Buntal di sini.

Intan menambah, kubah pengering solar merupakan salah satu alternatif pengeringan ikan yang memberi penjimatan dua ke tiga hari berbanding kaedah konvensional menjemur di bawah sinaran matahari yang mengambil masa selama tujuh hari.

“Ikan yang dijemur di dalam kubah juga lebih terjamin dari sudut kebersihan dan kualitinya. “Kawasan ini juga mempunyai pusat pemprosesan ikan yang telah mendapat sijil halal.

Sebab itu kita amat memeningkan kebersihan dan kualiti ikan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kubah pengering solar dapat memuatkan sehingga 200 ke 300 kilogram ikan pelbagai jenis untuk sekali jemuran.

“Suhu di dalam kubah ini dikawal iaitu pada 55 darjah celsius pada waktu siang dan 30 hingga 37 darjah celsius pada waktu malam.

“Kaedah ini senang, mudah dan menjimatkan masa sebelum ia dibungkuskan.

“Ikan kering ini biasanya dijadikan sebagai makanan alternatif penduduk selain ikan segar,” katanya.

 

Suara Sarawak