Jangan cuba naikkan harga walau sebiji panadol

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada bila-bila melaksanakan mekanisme kawalan harga jika berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah ke atas mana-mana barangan keperluan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian memberi tumpuan berterusan dalam memastikan bekalan barangan keperluan rakyat mencukupi dan harga barang terkawal semasa PKP Fasa Ketiga.

Katanya, sepanjang tempoh 18 Mac hingga 15 April, KPDNHEP menjalankan 25,543 pemeriksaan membabitkan pelbagai peringkat seperti runcit, borong dan kilang.

“Hasil pemantauan mendapati 25 barangan terkawal mencukupi di pasaran dan masyarakat diingatkan jangan melakukan pembelian panik.

“Pemantauan bekalan dan harga dijalankan ke atas 25 jenis barangan keperluan meliputi kategori makanan kering iaitu gula, minyak masak, tepung gandum, beras, susu tepung, biskut, sardin, mi segera dan roti putih,” katanya di sini semalam.

Manakala bagi kategori barang segar turut diperiksa ialah ayam, makanan sejuk beku, sayur-sayuran, telur, bawang dan susu segar.

Bagi kategori minuman pula, kementerian memastikan air kotak, milo dan kopi atau teh cukup bagi memenuhi permintaan masyarakat.

Untuk kategori kebersihan dan kesihatan iaitu cecair pembasmi kuman, topeng muka, tisu basah, tisu tandas, lampin bayi, lampin dewasa termasuk paracetamol atau panadol.

Alexander berkata, kementerian akan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas bekalan dan harga barangan di seluruh negara bagi memastikan tiada cubaan menaikkan sebarang harga.

“Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac, seramai 2,300 pegawai penguat kuasa KPDNHEP digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh negara.

“Pemantauan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” tegasnya.

Jika didapati ada pihak yang menaikkan harga barangan, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian ini melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, talian1800 886 800, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU atau hubungi talian 03-8000 8000 termasuk boleh melapor terus ke 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

Suara Sarawak