Jangan mudah percaya khabar angin

MIRI: Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong meminta orang ramai agar tidak mudah percaya dengan khabar angin tanpa sumber yang sahih.

Beliau berkata demikian semasa Operasi Sanitasi Awam di St Dominic Church and The Rosary di Taman Tunku semasa Operasi Sanitasi Awam, kelmarin.

“Untuk makluman, pasukan bomba akan melakukan sanitasi awam seperti gereja, masjid, pasar dan juga tempattempat yang diminta. “Ini bagi memastikan penduduk sekitar Miri berasa yakin dan selamat berada di sini, jadi saya harap orang ramai tidak menyebarkan khabar angin atau berita palsu,” katanya.

Beliau berkata, bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat tertentu berkenaan Covid-19, pastikan merujuk kepada sumber yang betul dan sahih. “Kalau ada pertanyaan, boleh merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau bilik gerakan Pengurusan Bencana Bahagian,” ujarnya.

Selain itu, Menteri Muda Pelancongan Datuk Sebastian Ting yang turut hadir sama berkata, sanitasi di tempat ibadah dilakukan untuk memastikan ia bersih sebelum dibuka untuk kegunaan orang ramai selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya dimaklumkan, gereja ini mampu menampung lebih 3,000 orang bagi setiap sesi upacara keagamaan. “Jadi, saya harap orang ramai kelak tidak risau untuk datang ke tempat ibadah selepas PKP tamat kerana operasi sanitasi telah dilakukan bagi memastikan ia bersih dan selamat,” ujar beliau.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak