Keadaan belum mendesak laksana perintah berkurung

KUCHING: Kesesakan lalu lintas di jalan Kuching-Samarahan disebabkan faktor jalan utama bagi penduduk dalam kawasan tersebut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau kurang pasti punca utama jalan raya sesak selepas jam 7 malam itu.

“Perkara tersebut berlaku mungkin disebabkan mereka yang bekerja secara shift atau mereka yang bekerja dalam perkhidmatan penting balik dari kerja.

“Kalau kita pergi ke kawasan Samarahan banyak pengguna jalan raya menggunakan Jalan Batu Belat, jadi selalu kita lihat di jalan itu banyak kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media secara langsung di Facebook Ukas di sini, semalam.

Tambahnya, pihaknya akan membawa perkara tersebut kepada pihak berwajib yang mengadakan kawalan dan berharap agar perkara itu dapat ditangani.

“Bagaimanapun, untuk hal ini kita tidak dapat terlalu ketat kerana kita tahu ramai penduduk tinggal di kawasan Kota Samrahan bertugas di Kuching dan banyak juga juga tempat-tempat kerja itu masih belum tutup kerana berkaitan perkhidmatan penting,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang perintah berkurung untuk kawasan merah beliau menyatakan, ketika ini pihaknya belum melihat keperluan untuk melaksanakan perintah berkurung.

“Zon merah kawasan yang menjangkau 40 kes, walaupun ada kawasan melepasinya, tetapi saya percaya keadaan cukup terkawal.

“Kita masih sentiasa mengingatkan kepada rakyat untuk terus duduk di rumah kerana ini adalah cara terbaik untuk mengawal keadaan.

“Tetapi sekiranya memerlukan pelaksanaan perintah berkurung, kita akan lakukan.

Bagaimanapun sehingga kini, kita masih belum melakukan hingga ke tahap tersebut,” tegasnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak