Kes perbicaraan mahkamah secara langsung dalam talian esok hari

KUCHING: Buat julung kalinya, Badan Kehakiman Malaysia akan mengadakan tayangan langsung pendengaran kes di Mahkamah Rayuan secara atas talian pada 23 April ini (esok) pada jam 10 pagi melalui Portal Rasmi Badan Kehakiman Malaysia.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menyaksikan tayangan langsung berkenaan melalui pautan www.kehakiman.gov.my.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia hari ini, langkah tersebut diambil berikutan situasi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020 sepertimana yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sebelum ini.

Kenyataan tersebut juga menambah langkah itu dibuat bagi melengkapkan dan menyokong pendengaran kes secara atas talian tersebut.

“Badan Kehakiman Malaysia telah maju selangkah lagi dengan melaksanakan projek perintis iaitu tayangan langsung pendengaran kes secara atas talian.

“Ini membolehkan orang awam untuk melihat sendiri secara langsung pendengaran kes yang dijalankan seperti di Mahkamah Terbuka dan juga memastikan akses kepada keadilan adalah berterusan,” jelas kenyataan berkenaan.

Suara Sarawak