Keutamaan di zon merah: 1.2 juta penutup mulut dan hidung

KUCHING: Sebanyak 1.2 juta penutup mulut dan hidung akan diagihkan kepada tiga bahagian di Sarawak dalam fasa pertama susulan pandemik Covid-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Menurutnya, tiga bahagian terbabit ialah Kuching dan Samarahan yang merupakan zon merah pandemik Covid-19 serta Serian. “Di zon merah, kita mengagihkan enam keping penutup mulut dan hidung untuk setiap isi rumah manakala empat keping di zon kuning.

“Di Kuching, sebanyak 160,000 isi rumah akan memperolehnya sementara di Samarahan terdapat 88,000 isi rumah dan selebihnya di Serian,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyaksikan pengagihan penutup mulut dan hidung oleh Kerajaan Sarawak kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Bahagian di sini kelmarin.

Menurut Kui Hian, meskipun bilangan penutup mulut dan hidung itu tidak mencukupi dengan populasi tiga juta penduduk Sarawak, namun keutamaan diberikan kepada rakyat yang tinggal di zon merah (Kuching dan Samarahan). “Penutup mulut dan hidung ini akan diagihkan oleh JPB Bahagian kepada setiap isi rumah terlibat.

“Pemberian penutup mulut dan hidung ini adalah di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dalam usaha kita mengekang penularan pandemik Covid19,” jelasnya.

Katanya, penutup mulut dan dan hidung itu dibungkus dengan sewajarnya dengan bantuan pelbagai pihak termasuk pelajar Unimas yang turut menyediakan arahan untuk menggunakan dan membuangnya.

“Kita mahu orang ramai menggunakan penutup mulut dan hidung dengan betul dan tidak membuangnya sesuka hati. “Ini kerana tabiat membuang penutup mulut dan hidung yang tidak betul boleh menyebarkan virus selain Covid-19 kepada orang lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kui Hian, mengingatkan segelintir pihak untuk tidak mempolitikkan agihan penutup mulut dan hidung terbabit. “Ini bukan masa untuk kita berpolitik tetapi bersama-sama membantu menghapuskan Covid-19,” katanya.

Suara Sarawak