Kontrak Pengerusi Niosh ditamatkan

SIBU: Ahli Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yieng menerima penamatan awal kontraknya sebagai Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) dengan hati terbuka.

“Saya menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengurusan Niosh kerana menyokong peranan saya dalam tempoh enam bulan,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik dalam akaun Facebooknya, semalam.

Beliau merupakan ahli farmasi bertauliah dan memiliki Sarjana Farmasi dari University of Strathclyde, Glasgow. Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad melantik beliau sebagai Pengerusi Niosh dari 1 Oktber 2019 hingga 20 September 2022.

Beliau menggantikan Tan Sri Lee Lam Thye yang telah berkhidmat selama 25 tahun, iaitu sejak 1994 dan kontraknya berakhir pada 20 September 2019. “Dalam tempoh enam bulan ini, saya banyak belajar mengenai kerja-kerja organisasi dan fungsinya dalam mempromosikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya.

Jelasnya lagi, bersama-sama pasukan pengurusan beliau telah mengemukakan beberapa inisiatif kepada kerajaan untuk mempertimbangkan pelepasan cukai bagi peralatan perlindungan peribadi (PPE) diimport yang tidak dikeluarkan dalam negara.

“Dengan berbuat demikian, ia akan membolehkan PPE disediakan lebih murah bagi majikan membekalkannya kepada kakitangan mereka,” katanya.

Sepanjang berkhidmat sebagai Pengerusi Niosh katanya, beliau juga melobi agar lebih ramai wanita dilatih dalam bidang keselamatan dan kesihatan. “Saya percaya apabila berkaitan keselamatan dan kesihatan, tidak ada perbezaan jantina,” jelasnya.

Alice Lau memberitahu, beliau juga pernah bekerjasama dengan pihak pengurusan untuk mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat Sarawak dan Sabah meningkatkan kemahiran melalui langkah-langkah keselamatan dan kesihatan.

Selain itu, beliau juga telah membuat beberapa usaha untuk menaik taraf kemahiran kumpulan B40 supaya mereka boleh mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Suara Sarawak