Lima hari agih makanan

SIBU: Parti Progresif Demokratik (PDP) mengambil masa selama lima hari untuk mengagihkan bantuan makanan kepada 6,000 ketua isi rumah di Sibu Jaya, jelas Naib Presiden Kanannya Kaunselor Teo Boon Siew.

Beliau berkata, setelah berjaya mengagihkan bantuan makanan selama tiga hari, pihaknya memerlukan dua hari lagi untuk menyelesaikan kesemua agihan.

“Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami memerlukan masa selama lima hari untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk di sini kerana Sibu Jaya mempunyai populasi yang ramai,” katanya.

Menurutnya, mereka turut mengalami masalah pengangkutan dan kekurangan bekalan kerana permintaan terhadap makanan asas seperti beras, gula, mi segera, minyak masak dan sebagainya amat tinggi.

“Inilah punca kita tidak dapat menyalurkan bantuan secara sekali gus. Kami berharap rakyat faham bahawa bukan mudah untuk menyalurkan bantuan memandangkan Sibu Jaya merupakan kawasan perumahan terbesar di Sibu,” tambahnya.

Jelasnya, sejak 10 April lalu, PDP telah mengagihkan bantuan kepada 10,527 ketua isi rumah di kawasan Dun Dudong yang terjejas berikutan penguatkuasaan PKP.

Suara Sarawak