Malaysia tingkat jumlah ujian harian COVID-19 kepada lebih 22,000 minggu depan – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA: Malaysia akan dapat meningkatkan keupayaan menjalankan ujian COVID-19 kepada lebih 22,000 ujian sehari minggu depan susulan penggunaan dua mesin memproses ujian automasi nanti.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata satu daripada mesin berkenaan yang boleh memproses sehingga 5,000 ujian sehari, akan ditempatkan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur, menjelang hujung minggu ini.

“Satu lagi mesin yang boleh melakukan 1,000 ujian sehari pula akan ditempatkan di makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu,” katanya pada sidang media harian mengenai COVID-19 di Kementerian Kesihatan di sini semalam.

Beliau berkata dengan tambahan 6,000 ujian menerusi kedua-dua mesin itu kepada 16,500 ujian setiap hari yang dijalankan ketika ini, ia menjadikan jumlah ujian yang dapat dilakukan setiap hari akan menjangkau kepada lebih 22,000 ujian.

“Setakat ini kita mampu membuat 16,635 ujian COVID-19 (sehari),” katanya.

Beliau berkata Malaysia pada mulanya mempunyai 23 makmal ujian COVID-19, namun kini jumlahnya telah bertambah kepada 43.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata kekurangan bekalan darah berlaku setiap Ramadan, dan beliau menggalakkan lebih ramai penderma unuk tampil menderma darah

“Setiap tahun, apabila tiba bulan Ramadan, kita ada masalah kekurangan bekalan darah. Kita sentiasa berikan galakan kepada orang ramai yang hendak menderma darah supaya pergi ke hospital,” katanya dan menambah pihak polis telah dimaklumkan supaya tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang keluar rumah untuk pergi menderma darah.

Bagaimanapun menurutnya keperluan bekalan darah agak kurang semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandangkan kes-kes trauma disebabkan kemalangan jalan raya juga semakin berkurangan ketika ini.

Menteri Kanan (Kluster keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata rakyat Malaysia akan dibenarkan keluar rumah untuk menderma darah di hospital dan klinik kesihatan awam dari 10 pagi sehingga 10 malam sepanjang PKP, memandangkan simpanan darah di Pusat Darah Negara telah berkurangan sejak PKP dikuatkuasakan.

Sementara itu ditanya mengenai persidangan Parlimen pada 18 Mei ini, Dr Noor Hisham berkata langkah-langkah pencegahan perlu diambil di semua tempat, termasuk di bangunan Parlimen.

“Ia adalah kebiasaan baharu, sama ada anda pergi ke Parlimen, atau restoran, atau sebarang institusi, perlu ada saringan suhu badan, amalan jarakan sosial, penjagaan kebersihan diri, dan sekarang ini pula tiada lagi berjabat tangan.

Pada 17 April lepas, setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat mengumumkan bahawa Dewan Rakyat akan bersidang selama sehari pada 18 Mei ini. – Bernama

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak