MR DIY derma 300,000 topeng muka

KUALA LUMPUR: Peruncit penambahbaikan rumah terbesar Malaysia, MR DIY telah menyumbangkan sejumlah 300,000 topeng muka tiga lapisan kepada petugas barisan hadapan yang sedang berjuang menangani wabak COVID-19.

Ia turut menyumbang 1,000 peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada enam hospital di Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Pengarah Urusan MR DIY Adrian Ong berkata syarikat itu turut mengagihkan topeng muka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), hospital serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi membantu kakitangan mereka menjalankan tugas.

“Sumbangan ini adalah isyarat muhibah dan kesyukuran kami kepada mereka yang bekerja keras dalam memerangi wabak COVID-19 di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, sambil menambah MR DIY berharap sumbangan itu akan membantu melindungi petugas barisan hadapan.

Katanya, seorang wakil PDRM telah menyampaikan ucapan penghargaan kepada MR DIY kerana membekalkan topeng muka yang sangat diperlukan oleh pasukan polis.

Pada 30 Jan, syarikat tempatan itu, melalui 560 cawangannya, menjalankan inisiatif di seluruh negara dengan memberikan 3.5 juta topeng muka kepada orang ramai dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang amalan yang sihat. – Bernama

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak