OPA sumbang 100 kotak perlindungan peribadi

KUCHING: Persatuan Bekas Putera (OPA) telah menyumbangkan lebih 100 kotak peralatan perlindungan peribadi (PPP) kepada hospital dan klinik yang memberikan rawatan wabak Covid-19 di Sarawak.

“PPP ini adalah untuk melindungi petugas kesihatan barisan hadapan terutamanya petugas perubatan dalam menjalankan proses saringan dan rawatan terhadap pesakit Covid-19,” jelas OPA dalam kenyataan media kelmarin.

OPA yang diwakili oleh Timbalan Pengerusi Cawangan Sarawak iaitu OP Mashan Ahmad Rais telah menyerahkan 72 unit kotak intubasi dan 85 unit kotak saringan kepada Jabatan Kesihatan Sarawak dan Hospital Umum Sarawak.

Kotak-kotak selebihnya diselaras oleh OP Edmund Ranum untuk diedar sekitar Kuching, Kota Samarahan, Serian, Betong, Sibu, Bintulu, Miri dan Marudi dengan sokongan Tentera Darat Malaysia ehsan daripada Panglima Medan Timur.

“Inisiatif ini telah meraih dana sebanyak RM30,000 untuk Sarawak sahaja, termasuk tajaan RM5,000 daripada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat.

“Ia juga adalah sumbangan orang ramai yang mengambil berat terhadap kesejahteraan petugas barisan hadapan dalam mengurus pesakit Covid-19,” kata kenyataan tersebut.

Kesemua dana sumbangan telah digunakan untuk menghasilkan kotak-kotak PPP intubasi dan saringan dalam masa 24 jam.

Penghantaran kotak-kotak PPP daripada Kuala Lumpur telah diselaraskan oleh Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) melalui pesawat pengangkut mereka ke Kuching, Sarawak.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan Bekas Putera Cawangan Sarawak di atas sumbangan ini semasa penularan wabak Covid-19,” kata Dr. Chin Zin Hin, Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Sarawak.

“Ia amat membantu kami dalam menjalankan tugas menangani wabak ini daripada tersebar lebih luas.

Manakala Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr. Ngian Hie Ung berkata; “Terima kasih kepada OPA kerana menghasilkan pelindung muka dan kotak-kotak PPP untuk kami melindungi diri sendiri.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak