Padah keluar melepak

KUCHING: Empat remaja ditangkap kerana melepak ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini.

Mereka yang berusia 16 hingga 21 tahun ditahan di pondok kosong di kaki bukit kuil India, Jalan Matang Tungku Yassin, sekitar jam 9.25 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata tangkapan ke atas tiga perempuan dan seorang lelaki itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada Rela yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

“Ketika ditanya tujuan berada di kawasan terbabit, kesemua suspek gagal memberikan alasan yang munasabah.

“Mereka tahu mengenai PKP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidil berkata dua buah motosikal yang digunakan semua suspek turut dirampas.

Katanya kesemua suspek ditangkap di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Perkara 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan 2020).

“Kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Batu 10 untuk tindakan lanjut dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Suara Sarawak