Pasar awam guna sistem e-dompet

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang menyasarkan penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai atau e-dompet di seluruh pasar awam di negeri itu menjelang Jun tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Negeri Jagdeep Singh Deo berkata, sebelum negara dilanda pandemik Covid-19, kerajaan negeri sememangnya sudah ada perancangan untuk menggalakkan semua peniaga pasar menawarkan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang, langkah-langkah keselamatan harus dipertingkatkan dan penggunaan teknologi itu adalah bersesuaian khususnya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya mendapatkan maklum balas yang positif daripada para peniaga pasar awam untuk penggunaan e-dompet dan saya telah mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk melaksanakan sistem ini di semua pasar awam di Pulau Pinang,” katanya selepas Maljis Pelancaran Aplikasi Edompet di Pasar Awam Taman Tun Sardon di sini.

Tambahnya, Pulau Pinang mempunyai 26 pasar awam di bawah pengurusan MBPP dan 30 pasar awam di bawah MBSP.

Selain itu, Jagdeep yang juga Adun Datuk Keramat berkata, setakat semalam, sebanyak 219,536 premis diperiksa di seluruh Pulau Pinang sepanjang PKP ini.

Katanya, MBPP dan MBSP masing-masing melaporkan tahap pematuhan PKP sebanyak 99.45 peratus dan 99.32 peratus setakat semalam.

“Kita tidak akan berkompromi untuk memastikan pematuhan PKP ini dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan akan diteruskan sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.

Bagi PKP fasa keempat, Jagdeep menambah, seramai 5,000 anggota MBPP dan MBSP diarahkan untuk bertugas di lapangan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya PKP dalam kalangan rakyat Pulau Pinang dapat dicapai.

“Semua rakyat harus faham, pematuhan PKP ini adalah demi keselamatan dan kesihatan diri sendiri, anak-anak kita dan keluarga. Saya berharap rakyat akan terus bersabar dan mematuhi PKP ini,” katanya. – Bernama

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak