Pasar raya sediakan ruangan menunggu di mesin ATM

KOTA SAMARAHAN: Pasar raya The Summer Shopping Mall dekat sini menyediakan ruangan kepada pelanggan yang menunggu giliran untuk menggunakan mesin ATM.

Tinjauan Suara Sarawak baru-baru ini mendapati pihak pasar raya tersebut telah menyediakan kerusi yang disusun dengan jarak satu meter untuk kegunaan para pelanggan yang menunggu giliran.

Notis juga diletakkan untuk memudahkan para pelanggan. Setiap pelanggan perlu mengamalkan jarak satu meter dan hanya lima orang dibenarkan untuk berbaris menggunakan mesin ATM. Selain itu, notis itu juga meminta pelanggan duduk untuk menunggu giliran masing-masing.

Ketika tinjauan, didapati seorang Pengawal Keselamatan yang bertugas pagi untuk mengawal pelanggan di mesin ATM itu juga kelihatan peramah dan ceria.

Setiap arahan yang diberikan kepada pelanggan juga sangat jelas dan perkara tersebut memudahkan pelanggan yang menggunakan mesin ATM iaitu di tingkat bawah pasar raya tersebut.

Suasana di pasar raya itu agak lengang pagi semalam dan bahagian atas juga ditutup.Terdapat beberapa kedai makanan segera seperti Sushi King, Secret Recipe, KFC dan sebagainya menyediakan perkhidmatan bungkus sahaja.

Hanya pintu masuk utama dibuka dan mereka menyediakan saringan setiap pelanggan serta tempat mencuci tangan di pintu masuk.

Suara Sarawak