Pastikan barisan hadapan dilindungi

KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menyerahkan sebanyak 24 kotak makanan tambahan B Fusion Oral Dispersible Powder bernilai RM12,000 yang ditaja oleh WBG Asia Pacific (M) Sdn Bhd untuk barisan hadapan yang bertugas di Pusat Pemeriksaan Covid-19, Kompleks Belia dan Sukan di sini.

Menurutnya, produk itu kaya dengan vitamin C dan antioksidan yang dapat membantu menguatkan sistem imun terutama bagi barisan hadapan yang setiap hari bersentuhan dengan pesakit dalam siasatan (PUI) dan berkemungkinan positif Covid-19.

Katanya, amat penting untuk petugas barisan hadapan di pusat pemeriksaan berkenaan dilindungi memandangkan semakin ramai orang yang tampil menjalani pemeriksaan di situ. “Kami dimaklumkan bahawa lebih daripada 100 individu diuji positif melalui pusat pemeriksaan ini.

“Justeru, usaha mesti dilakukan untuk melindungi barisan hadapan supaya mereka dapat menumpukan perhatian pada tugas dengan ketenangan jiwa juga melindungi keluarga serta orang yang mereka sayangi,” katanya selepas menyerahkan sumbangan berkenaan bersama-sama Adun Pending Violet Yong di sini kelmarin.

Dr. Yii percaya semakin kukuh barisan hadapan dilindungi, semakin baik mereka dapat melindungi rakyat. “Walaupun dipanggil sebagai barisan hadapan tetapi pekerja perubatan kita sebenarnya adalah barisan pertahanan terakhir.

“Apabila mereka gagal, maka kita akan kalah dalam pertempuran melawan virus ini,” katanya. Beliau berkata, menjadi tugas semua orang untuk memastikan mereka disokong dan dilindungi.

“Jika tidak, kita semua akan menderita,” katanya yang turut mengalu-alukan perkongsian strategik termasuk membabitkan sektor swasta dalam menawarkan bantuan serta sumbangan bagi memastikan barisan hadapan mendapat sokongan.

Dr. Yii menambah setiap orang harus berperanan dalam pertempuran melawan pandemik Covid-19 dengan saling menjaga antara satu sama lain.

Suara Sarawak