Pemain beraksi dalam ketakutan?

SABTU lalu kerajaan mengambil keputusan drastik dengan menghentikan saingan bola sepak Liga Malaysia 2020 sehingga selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) belum mendapat ‘hitam putih’ daripada kerajaan.

Ini bermakna, situasi Liga M 2020 sekarang ini masih tergantung, sama ada hanya ditangguhhkan untuk jangka masa tertentu atau dibatalkan.

Bagi jurulatih Kuching FA, Sharizan Sahari sekarang ini pasukan dan pemain berada dalam dilema, sama ada aksi diteruskan atau sebaliknya.

SHARIZAN SAHARI

Menurut bekas peman tengah Sarawak itu, jika saingan diteruskan selepas ini, suasana perlawanan mungkin berbeza.

“Ada kemungkinan para pemain akan beraksi dalam ketakutan… maklumlah dalam bola sepak, banyak sentuhan akan berlaku.

“Kecualilah negara kita sudah benar-benar pulih dan bebas daripada wabak Covid-19,” kata Shahrizan.

Pada masa yang sama beliau juga agak risau jika saingan musim ini dibatalkan kerana ia pasti akan menjejaskan sumber pendapatan pemain, lebih-lebih lagi sekarang ini, Liga M merupakan liga profesional.

Ini bermakna, para pemain bergantung sepenuhnya kepada Liga M sebagai sumber pendapatan untuk menyara kehidupan.

“Sebagai orang yang terlibat dalam sukan ini, terutama pemain, sudah pasti kita mahu perlawanan diteruskan,” ujar Sharizan.

“Kita tahu jika diteruskan sudah pasti ia akan mengikut prosedur operasi standard (SOP). Sebagai atlet sukan, bola sepak adalah kerjaya untuk kelangsungan hidup.

“Pembatalan liga mungkin akan memberi kesan kepada pemain bola sepak lebih-lebih lagi jika ia membabitkan pemotongan gaji sebanyak 50 peratus atau tiada gaji langsung,” ujarnya.

Menurut Shahrizan, para pemain Kuching FA telah pun menjalani latihan di rumah masing-masing sejak PKP berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

“Kami hanya memantau latihan mereka melalui kumpulan WhatsApp.

“Dalam bulan Ramadan ini, pemain yang beragama Islam akan berlatih petang atau malam,” ujarnya.

“Namun apa yang pasti, tidak banyak yang dapat kita lakukan sepanjang PKP ini. Latihan kecergasan total dan kemahiran tidak dapat dilakukan, kerana ia hanya akan dilakukan di padang latihan,” jelas Shahrizan.

Suara Sarawak