Pendek rambut atau pendek umur?

KUCHING: Persatuan dandanan rambut berpendapat bahawa kedai gunting rambut tidak harus beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Pendandan Rambut Kuching (KHA) Raymond Chin (gambar) menyatakan perasaan risau dengan tindakan kerajaan membenarkan kedai gunting dan salun untuk memulakan perniagaan kerana krisis Covid-19 di negara ini belum lagi reda.

“Saya percaya lebih 75 peratus pemilik kedai gunting rambut di negara ini tidak bersetuju sementara bakinya mungkin setuju,” katanya kepada New Sarawak Tribune.

Beliau berkata, ini bukanlah masa terbaik untuk membolehkan pelanggan menggunting atau mendandan rambut kerana nyawa semua orang menjadi keutamaan.
“Sekiranya kedai gunting rambut dibuka, ia terlalu bahaya dan meletakkan orang ramai dalam risiko.

“Kita tidak mahu kerana inginkan rambut pendek, nanti nyawa jadi pendek.

“Kita tidak mengetahui siapa yang dijangkiti dan menyebarkan virus tersebut.
Dua minggu PKP yang dilanjutkan ini akan menjadi sia-sia jika seseorang dijangkiti ketika menggunting rambut,” tegasnya.

Raymond juga berkata, kedai gunting juga perlu memastikan peralatan di premis mereka selamat untuk pelanggan.

“Mencegah pelanggan daripada dijangkiti merupakan keutamaan kami. Apabila ini sudah berakhir, saya percaya perniagaan kami akan berkembang dengan lebih baik,” katanya.

Beliau menambah, kedai gunting rambut dan salun dibenarkan dibuka di zon hijau, namun ia tetap mengundang risiko.

Raymond juga pengarah Ray’s Saloon yang beroperasi di Brighton Square di Jalan Song berkata, dia memahami banyak perniagaan termasuk industri dandanan rambut terjejas kerana pandemik berkenaan.

“Apabila perniagaan ditutup semasa PKP, terdapat peniaga yang sifar pendapatan.

“Oleh itu, ramai peniaga mengeluarkan simpanan sendiri untuk membayar gaji pekerja termasuk sewa,” ujarnya.

Raymond berharap, pemilik premis mempertimbangkan memberikan penyewa sekurang-kurangnya 50 peratus diskaun ke atas sewa semasa PKP ini.

“Beberapa kedai gunting rambut tidak memiliki aliran tunai baik. Kami berharap pemilik kedai berusaha agar perniagaan mereka bertahan,” katanya.

Katanya, jika pemilik kedai tidak berbuat sedemikian, mereka juga akan rugi kerana ketika kedai dipaksa menutup bukan mudah untuk mencari penyewa baharu.

“Saya juga menggesa semua pemilik kedai gunting rambut menunggu sedikit lagi dan lihat bagaimana keadaan selepas 28 April.

“Bertahanlah, kita dapat melakukan ini. Kita semua mesti memainkan peranan dalam memerangi virus ini,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan membenarkan beberapa perkhidmatan termasuk kedai gunting rambut beroperasi di bawah PKP tetapi tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat dan hanya dibenarkan mengunting rambut sahaja.

Suara Sarawak