Penghantar makanan ligat di jalanan

KUCHING: Memasuki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 15 April, penghantar makanan atau dikenali sebagai rider dilihat terus ligat menjalankan menghantar makanan di sekitar bandar raya ini.

Walaupun berdepan risiko jangkitan wabak Covid-19, mereka tidak pernah patah semangat demi mencari rezeki untuk diri sendiri dan keluarga.

Ismalizam Ismail, 34, yang berpengalaman lebih setahun sebagai penghantar makanan berkata, bilangan tempahan yang diterima sehari dalam tempoh PKP meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.

“Ketika ini rider ibarat tidak menang tangan untuk memenuhi semua tempahan yang diterima setiap hari. “Kalau diikutkan, kami tidak mempunyai masa rehat dan perlu pandai mencuri masa untuk makan atau minum,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Dia turut berterima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian yang menghulurkan makanan kepada mereka. “Kami banyak menerima makanan daripada NGO dan orang perseorangan yang prihatin akan nasib kami,” ujarnya.

Malah menurutnya, terdapat penghantar makanan melakukan kerja amal dengan menghulurkan sumbangan makanan kepada barisan hadapan dan orang awam.

Jelasnya, mereka mengutamakan keselamatan dan kebersihan semasa melakukan sebarang penghantaran. “Kami juga menggunakan sarung tangan dan cecair pembasmi kuman bagi meningkatkan tahap kebersihan,” jelasnya.

Suara Sarawak