Putuskan rantaian jangkitan aktif

KOTA SAMARAHAN: Sembilan jalan utama di kawasan Uni Garden dan Desa Ilmu ditutup polis, bermula semalam.

Tinjauan Suara Sarawak mendapati beberapa jalan utama ditutup menggunakan penghadang dan banting.

Kawasan Uni Garden menunjukkan empat jalan ditutup, termasuk simpang Uni Ssquare, simpang Uni Capital, simpang masuk Uni Garden/Uni Square dan simpang keluar Pasar Tamu Bandar Riyal.

Manakala kawasan Desa Ilmu, termasuk simpang Jalan Meranek, simpang Lorong Desa Ilmu ke Siang-Siang Corner, simpang Lorong Desa Ilmu 12B dan simpang Bank Islam ditutup.

Tujuh jalan utama di dua lokasi tersebut dipercayai masih dilalui orang awam, namun dikawal polis dan terdapat khemah di lokasi untuk pemantauan.

Di Taman Uni Garden empat jalannya adalah simpang tiga Tamu Bandar Riyal, simpang Taman Uni Media, simpang Taman Univista dan simpang tiga Uni Central/Uni Garden ditutup.

Manakala Desa Ilmu menunjukkan tiga jalan utama termasuk simpang Summer Mall, Lorong Desa Ilmu 22 bersebelahan Gereja Methodist dan simpang KFC Taman Desa Ilmu tidak ditutup namun akan dikawal polis.

Ia dilakukan bagi memastikan pergerakan orang awam terkawal dengan lebih efektif dan mematuhi PKP. Ketua Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi berkata, penutupan itu memudahkan operasi pemeriksaan dari rumah ke rumah seperti yang diarahkan oleh KKM.

Menurutnya, operasi pencegahan dan pengesanan ke atas penduduk di kedua-dua lokasi itu dilakukan berikutan pengesahan KKM berhubung dengan Uni Garden dan Desa Ilmu dikategorikan zon jangkitan aktif Covid-19.

Katanya, operasi itu dijalankan bermula semalam hingga 30 April ini.

“Polis akan bekerjasama serta membantu KKM untuk membuat saringan dari rumah ke rumah terhadap mana-mana individu berkontak rapat dengan Covid-19.

“Seramai 202 pegawai dan anggota polis terlibat sepanjang empat hari operasi dijalankan,” jelasnya.

Terdahulu, KKM akan memulakan saringan terhadap orang awam melalui rumah ke rumah di sekitar kawasan Kota Samarahan.

Operasi ini dilakukan bagi memastikan penduduk sekitar bebas daripada jangkitan, sekali gus membendung penularan wabak tersebut.

Suara Sarawak